Petempatan
awal yang berasaskan pertanian membawa kepada kemunculan bandar-bandar.
Anyang merupakan salah satu contoh negara kota dalam tamadun Hwang Ho.
Anyang terletak di kawasan tanah tinggi di Sungai Huan. Di bandar ini
terdapat istana, kuil, dan pusat pentadbiran. Ketua pemerintah, iaitu
raja, golongan pembesar, dan golongan agama juga tinggal di kawasan
bandar. Bandar Anyang dilengkapi dengan tembok untuk menghalang
pencerobohan musuh dan dikelilingi oleh perkampungan yang didiami oleh
masyarakat petani.
Susun lapis dalam organisasi sosial masyarakat Shang memperlihatkan
golongan raja dan pembesar menduduki lapisan paling atas yang diterajui
oleh raja. Sedangkan lapisan bawahan, iaitu golongan petani yang
membentuk sebahagian besar penduduk mendiami kawasan di luar bandar,
iaitu di sekeliling negara kota ini. Dalam lapisan ini terdapat juga
golongan artisan. Golongan ini wujud sebahagian besarnya disebabkan oleh
kemahiran yang muncul dalam tamadun Shang, iaitu penguasaan mereka
dalam teknologi gangsa. Gangsa telah digunakan bagi menghasilkan
senjata, perisai dan
hiasan pada kereta kuda yang digunakan oleh tentera, serta peralatan
untuk upacara keagamaan. Oleh sebab golongan pembesar sahaja yang mampu
memiliki tentera dan senjata gangsa ini, maka, golongan ini telah dapat
menggunakan keistimewaan mereka ini untuk menundukkan golongan bawahan.
Golongan paling bawah dalam masyarakat Shang ialah hamba. Perhambaan
merupakan satu ciri utama dalam Dinasti Shang.
Sistem organisasi sosial yang wujud telah membawa kepada pengkhususan
pekerjaan. Sebagaimana yang dijelaskan di atas, golongan pembesar
mempunyai tentera masing-masing. Terdapat dua kumpulan tentera, iaitu
tentera yang menggunakan kereta kuda dan tentera berjalan kaki. Di
samping itu, golongan petani sebagai tonggak ekonomi dan pentadbiran
berperanan memenuhi keperluan golongan atasan. Golongan inilah yang
telah membentuk kumpulan artisan. Golongan artisan ini telah mereka
cipta pelbagai barangan tembaga seperti bekas minuman dan makanan,
senjata, dan barang tembikar.
Golongan hamba pula berfungsi sebagai tentera paksaan selain digunakan untuk membantu kerja-kerja perburuhan, dan untuk tujuan korban dalam upacara
penyembahan.
Sistem pemerintahan Dinasti Shang berbentuk pemerintahan beraja dan
pengganti raja selalunya dilantik daripada kalangan saudara lelaki yang
lebih muda atau anak lelaki raja. Raja-raja Shang
mempunyai kewibawaan politik, ekonomi, sosial dan agama. Raja-raja ini
berkuasa secara langsung di kawasan pusat pentadbiran. Masyarakat
tamadun ini percaya yang kuasa raja merupakan mandat daripada tuhan dan
raja-raja Shang tidak perlu mendapatkan pengesahan politik kerana
mereka adalah daripada keturunan
pemerintahan agama. Dalam urusan pentadbiran raja dibantu oleh golongan
bangsawan dan pegawai kerajaan. Bagi wilayah di luar pusat pentadbiran,
pemerintahan Dinasti Shang dibantu oleh golongan bangsawan. Golongan
bangsawan ini dipertanggungjawabkan untuk mentadbir wilayahnya. Oleh
itu, golongan bangsawan ini berhak mewujudkan sistem pentadbirannya
sendiri dalam hal seperti pungutan cukai, pertahanan dan undang-undang.
Sistem yang sama telah diasimilasikan oleh Dinasti Chou apabila mereka
mengambil alih pemerintahan Shang.
Raja-raja Dinasti Chou membahagikan pemilikan tanah mereka kepada
wilayah-wilayah dan melantik pembesar tempatan di setiap wilayah ini.
Raja-raja Dinasti Chou mengikat pembesar tempatan melalui ikrar taat
setia kepada pemerintah Chou, di samping memberikan hadiah seperti
kereta kuda, senjata gangsa, hamba dan binatang. Mereka juga diminta
melindungi raja dan memberikan bantuan tentera pada masa perang.
Pembesar tempatan juga diberikan hak untuk bertindak sebagai ketua agama
untuk menjalankan upacara pengorbanan.
Dari segi agama dan keperluan, masyarakat tamadun Hwang Ho mengamalkan
banyak kepercayaan termasuk animisme dan politeisme. Masyarakat Shang
mengamalkan penyembahan roh nenek moyang. Selain itu, mereka juga
menyembah tuhan syurga (Shang-ti) dan tuhan bumi (Tu), di samping
penyembahan terhadap sungai,
bukit dan gunung. Upacara penyembahan melibatkan permainan muzik,
tarian, dan upacara korban. Upacara penyembahan ini akan diketuai oleh
golongan bomoh. Satu lagi keunikan tamadun
ini ialah jumpaan tulang binatang dan kulit kura-kura di Anyang. Tulang
yang ditemui ini dikenali sebagai tulang oracle. Fungsi tulang oracle
adalah untuk meramal sesuatu keadaan. Golongan bomoh yang terlibat dalam
upacara penilikan ini akan meletakkan tulang ini di atas unggun api
sehingga timbul rekahan dan rekahan ini ditafsirkan dan disabitkan
dengan sesuatu kejadian.
Amalan penilikan tulang oracle ini membawa kepada kemunculan sistem
tulisan awal di China. Rekahan-rekahan pada tulang ini menimbulkan idea
masyarakat tempatan untuk mencipta tulisan. Tulisan China ini berbentuk
ideogram, iaitu tulisan berbentuk simbol. Tulisan asal ini kebanyakannya
mempunyai gambar seperti kanak-kanak, bulan, matahari dan sungai. Namun
demikian, tulisan ini mula berubah kepada bentuk yang lebih kompleks
seperti yang terdapat pada hari ini.